Konsep al-Taṣnīf al-Mawḍū‘ī dan Peranannya dalam Perbahasan Hadith Mawḍū‘ī
Main Article Content
Abstract
Al-taṣnīf al-mawḍū‘ī merupakan satu istilah penting yang berlegar dalam perbahasan hadith mawḍū‘ī kontemporari selain daripada istilah dirāsah mawḍū‘īyyah min al-ḥadīth dan sharḥ al-mawḍū‘ī li al-ḥadīth. Walau bagaimanapun, istilah al-taṣnīf al-mawḍū‘ī dilihat tenggelam dan tidak begitu diketengahkan oleh para pengkaji hadith kontemporari kerana kewujudannya hanyalah sebagai struktur asas kepada kewujudan perbahasan hadith mawḍū‘ī sahaja. Oleh itu, artikel ini ditulis bertujuan mengkaji perbincangan mengenai al-taṣnīf al-mawḍū‘ī sebagai satu manhaj penulisan hadith melalui sorotan sejarah kewujudannya sebelum dan selepas era tadwīn, korelasinya dengan hadith mawḍū‘ī dan kepentingan mengaplikasikannya dalam penulisan hadith kontemporari. Untuk mencapai matlamat ini, kaedah kepustakaan berdasarkan kajian kualitatif melalui reka bentuk analisis kandungan digunakan sepenuhnya dalam proses pengumpulan dan penganalisisan data. Dapatan kajian menunjukkan bahawa al-taṣnīf al-mawḍū‘ī merupakan manhaj penulisan hadith yang telahpun diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW lagi dan ia menjadi asas yang mesti wujud dalam perbahasan hadith mawḍū‘ī kontemporari. Dengan itu, diharapkan penulisan artikel ini dapat memberi sumbangan dalam memberi gambaran mengenai kepentingan membuat penulisan hadith secara mawḍū‘ī untuk mendapatkan kefahaman yang holistik berkaitan sesuatu isu yang menjadi tema hadith tersebut.