Model Pendidikan Keibubapaan Abdullah Nasih Ulwan (MPIU) dalam Menangani Isu Remaja Lari dari Rumah
Main Article Content
Abstract
Isu pendidikan ibu bapa tidak pernah leka diperkatakan dalam masyarakat, apatah lagi dengan gaya hidup moden masyarakat dan keluarga masa kini. Isu ini sering kali dikaitkan dengan peningkatan masalah sosial melibatkan para remaja di Malaysia saban tahun. Pelbagai kajian dilakukan untuk cuba menangani ataupun mengurangi masalah yang berlaku dan antara lainnya ialah menilai semula peranan ibu bapa dan guru terhadap golongan ini. Salah satu isu dikaitkan dengan golongan remaja ialah masalah lari dari rumah. Menurut statistik 2010 yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes remaja lari dari rumah meningkat dengan angka mencatatkan sebanyak 4,097 remaja membabitkan seawal usia 13 hingga 17 tahun. Hal ini berpunca daripada pelbagai faktor pendorong kepada peningkatan isu ini, namun terdapat kajian menunjukkan antara faktor pendorong utama berlakunya gejala ini berpunca dari corak dan bentuk didikan institusi keluarga itu sendiri khususnya didikan ibu bapa. Ini kerana peranan yang dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka amat penting bagi membentuk spiritual dan perilaku remaja sama ada menjurus kepada pembentukan jati diri positif ataupun negatif. Memandangkan perkara ini adalah sesuatu yang amat penting, maka pendekatan para ilmuwan yang membincangkan kaedah pendidikan anak-anak boleh dikaji dan diteliti serta dibangunkan satu model pendidikan keibubapaan yang bersesuaian dalam menangani isu remaja khususnya lari dari rumah. Oleh itu, kajian ini cuba mengambil iktibar dari pemikiran tokoh terkenal pendidikan anak-anak, Abdullah Nasih Ulwan untuk membentuk sebuah “Model Pendidikan Keibubapaan Ulwan (MPIU)†dengan menjurusi perbincangan yang dibuat dalam kitab Tarbiyah al-Awlad kerana ia dilihat mempunyai elemen serta metode pendidikan melibatkan psikologi dan sosiologi yang lengkap bagi membantu membangunkan jiwa remaja ke arah yang lebih baik.