Karya Terjemahan Hadis Abad ke-19: Penyelenggaraan Teks Karya Nadir HidÄyat al-MukhtÄr oleh Tuan Hasan Besut
Main Article Content
Abstract
Manuskrip merupakan suatu bentuk tinggalan sejarah yang sangat bermakna bagi sesebuah bangsa. Manuskrip dan karya-karya nadir berpotensi menjadi produk pelancongan jika ia dimanfaatkan. Kajian ini bertujuan membuktikan kenadiran dan keunikan karya Hidāyat al-Mukhtār oleh Tuan Hasan Besut pada abad ke-19 di samping menjalankan transliterasi teks terhadap karya tersebut. Pendekatan yang digunakan dalam membuktikan kenadiran karya Hidāyat al-Mukhtār adalah semakan automatik (auto finding) terhadap katalog-katalog digital Manuskrip Islam seluruh dunia dengan bantuan perisian al-Bāḥith fī al-Makhṭūṭāt al-Islāmiyyah yang disediakan oleh laman web Jāmi‘ al-Makhṭūṭāt al-Islāmiyyah di alamat url www.wqf.me. Manakala kajian Transliterasi pula dilakukan dengan bantuan Kamus Dewan dan al-Mu‘jam al-Wasīṭ bagi menyemak makna-makna perkataan bahasa Arab. Dapatan menunjukkan meskipun edisi cetakan pertama Hidāyat al-Mukhtār (tahun 1833) mengandungi masalah bahasa dan kesalahan percetakan, namun ia penting kerana berjaya menyelamatkan sebuah karya Hadis al-Ḥāfiẓ al-Mundhirī, ulama hadis Mesir abad ke-7 Hijri bersamaan 13 Masihi, yang dianggap telah hilang. Selain itu, berdasarkan riwayat hidup Tuan Hasan Besut dan tinjauan terhadap teks karya Hidāyat al-Mukhtār, dapat disimpulkan bahawa beliau merupakan seorang pendidik yang disanjungi di Besut pada abad ke-19, ketiga-tiga karya asli dan terjemahan Tuan Hasan Besut dijangkakan mempunyai nilai ilmu pendidikan dan psikologi yang sangat bermakna untuk dibuat kajian lanjutan.