KATA HUBUNG BAHASA JEPUN: KAJIAN KE ATAS PELAJAR INDONESIA & MALAYSIA A STUDY ON INDONESIAN AND MALAYSIAN NATIVES IN LEARNING JAPANESE CONJUNCTIONS

Main Article Content

Zoraida Mustafa
Rani Arfianty

Abstract

Kajian ini merupakan analisis perbandingan pembelajaran kata hubung bahasa Jepun, ~tekara (selepas), ~toki (ketika) dan ~tara (jika/bila) antara pelajar bahasa Jepun Indonesia (PBJI) dan pelajar bahasa Jepun Malaysia (PBJM). Kata hubung ~tara sebagai kata hubung bersyarat juga mempunyai makna ‘selepas’ dan ‘ketika’, tetapi peraturan penggunaannya berbeza dengan ~tekara dan ~toki. Penggunaan ‘selepas’ [~tekara], ‘ketika’ [~toki] dan ‘jika/bila’ [~tara] dalam bahasa Indonesia dan bahasa Melayu juga tiada peraturan khusus selain daripada penggunaan dalam bentuk aspek. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti keupayaan pelajar dalam memahami perbezaan penggunaan ~tekara, ~toki dan ~tara dan apakah terdapat sebarang perbezaan dalam kalangan pelajar Indonesia dan Malaysia dalam memahami konteks kata hubung berikut. Data kajian adalah hasil daripada hasil soal selidik, soalan objektif dan penyelesaian ayat oleh dua kumpulan pelajar, iaitu pelajar daripada Departemen Sastra Jepun, Fakulti Ilmu Budaya, Universiti Sumatera Utara dan pelajar daripada Ambang Asuhan Jepun, Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya pada tahap pembelajaran bahasa Jepun N3~N5. Dapatan kajian soal selidik Bahagian I (soalan objektif) menunjukkan bahawa lebih dari 40% daripada pelajar Indonesia dan Malaysia menunjukkan kekeliruan mengenal pasti penggunaan ~tekara dan ~tara. Manakala hampir 30% daripada pelajar Indonesia dan Malaysia keliru mengenal pasti ~toki dan ~tara. Seterusnya, dapatan kajian Bahagian II (soalan penyelesaian ayat) menunjukkan lebih daripada 50% pelajar Indonesia gagal untuk melengkapkan ayat ~tekara, ~toki dan ~tara, manakala 51% pelajar Malaysia gagal untuk melengkapkan ayat ~toki dan lebih dari 30% gagal untuk



106

melengkapkan ayat ~tekara dan ~tara sesuai dengan nahu dan peraturan penggunaannya. Kedua kumpulan pelajar didapati keliru mengenal pasti penggunaan ~tekara, ~toki dan ~tara dan menghasilkan ayat yang merujuk kepada penggunaan kata hubung ~kara (kerana), ~nagara (sambil) dan ~mae ni (sebelum). Antara punca berlakunya kesilapan adalah kerana, i) pelajar cenderung menterjemahkan soalan-soalan dalam ujian ini ke dalam bahasa ibunda dan mengabaikan peraturan penggunaan ~tekara, ~toki dan ~tara yang tepat, ii) kurangnya kefahaman pelajar mengenai peraturan penggunaan ketiga kata hubung ini sesuai dengan nahunya menjadi faktor utama kesilapan berlaku, dan iii) pelajar juga kurang teliti dan cuai ketika membaca soalan bagi ujian yang disediakan.

Downloads

Download data is not yet available.

Article Details

Section
Articles